Monday 19 November 2012

Kuliah Maghrib ; Syeikh Nuruddin Al-Marbu Al-Banjari Al-Makki




Syeikh Nuruddin Al-Marbu Al-Banjari Al-Makki.
Kuliah Maghrib – Surau Ehsaniah, Kelana Jaya
[16 Nov 2012]

Semakin hari, semakin dekat dengan mati. Semakin hari semakin kurang umur kita. Kita telah mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1433H. Tak ramai yang ingat apa yang telah kita buat, apa yang kita seb

ut, apa yang kita lakukan sepanjang satu tahun lepas. Kita mungkin tidak boleh ingat apa yang berlaku semalam dan 2-3 hari yang lalu. Tapi semuanya tak pernah luput dari pandangan Allah. Tak pernah luput dari rakaman video Allah dan catitan facebook malaikat. Tak ada sepatah kata pun yang kita sebut, kecuali dicatat oleh malaikat. Kita tak mungkin akan dapat mendustakan ucapan kita, perlakuan kita, perbuatan kita, dari pengetahuan Allah dan malaikat.

Kita ambil kalimat Hijrah itu sendiri. Tahu atau tidak, kena tahu. Kita hidup di hujung detik-detik yang terakhir di akhir zaman, yang makin dekat dengan hari akhirat, yang pasti kita bertemu dengan Allah. Tak ada orang yang terkecuali dari melalui perkara itu, mahu tidak mahu, memang terpaksa lalui. Tetap saja umur kita akan berpindah, tetap saja hidup kita akan berpindah, ke arah alam kekal abadi selamanya.

Kalau tanyakan kepada mereka yang sibuk bekerja, yang sudah pencen, sudah berumur, sudah sampaikah target duniawi yang mereka inginkan? Pasti jawapan mereka, belum. Masih punyai plan panjang lagi. Idamkan rumah banglo, nak simpanan dalam akaun berapa juta, kenderaannya mewah, semuanya masih belum cukup dan belum tercapai. Namun adakah cukup target hidup kita untuk mendapat akhirat yang kekal abadi?

Tiap hari yang berlalu, sebanyak itu juga kita kehilangan peluang. Sampai hari kita akan ditalkinkan, tiada lagi daya kekuatan, tiada daya untuk halang mereka ambil harta kita yang kita susah-susah usahakan. Kesudahan yang abadilah akhirat. Di akhirat nanti barulah sibuk minta ampun pada Allah, ampunkan kami kerana kesibukan kami, dalam kerja, dalam politik, dalam mencari duniawi, sampai lalai terlepas peluang mencari akhirat.

Tidak ada alasan! Sesibuk apa pun. Siapa kita nak kata kita sibuk berbanding Nabi Sulaiman, yang kena jaga jin, jaga semut, jaga haiwan, jaga manusia di bawah kerajaannya yang luas namun sempat juga beribadah? Jangan bagi alasan kemiskinan yang menimpa hidup sebagai penyebab tiada masa nak beribadah. Sahabat-sahabat Nabi, Abu Hurairah, Bilal, ramai lagi yang miskin papa kedana. Jika alasannya kerana miskin dia terjebak dengan perkara terlarang, jika Allah bentangkan kepada mereka orang-orang yang lebih miskin dari mereka, apa lagi alasan mereka?

Oh, aku menteri, aku khalifah, aku sibuk mengurus negara. Tak berpeluang untuk menimba ilmu, untuk beribadah. Jangan dibuat alasan-alasan seperti itu. Khalifah Abu Bakar, Umar semuanya sibuk juga, tapi ada masa beribadah. Kita dapat hidup yang sama, waktu yang sama 24 jam, bumi yang sama, udara yang sama, apa bezanya?

Kereta BMW, mercedes, innova, alza, city, siti sifir, ifrit, macam-macam jenis kereta, tapi tak mahu berjemaah di masjid. Zaman dulu, orang beri alasan pada Nabi tak mahu pergi berjemaah kerana banjir, kerana gelap, kerana ada haiwan berbisa. Tapi tetap Nabi suruh semua berjemaah. Tetap juga sahabat-sahabat hadir. Kita sekarang ada kereta, motor, ada lampu, tiada haiwan buas dan berbisa yang bebas, kenapa tak mahu hadir?

Jadi, berhijrahlah, berpindahlah kepada yang lebih mulia. Kalau tak mahu berhijrah, nanti dengan kita-kita akan dihijrahkan oleh Allah ke alam barzakh, pada ketika itu tiada lagi hijrah yang mampu dilakukan. Pada ketika itulah baru kita tertanya-tanya kenapa aku tak berubah, kenapa aku tak berhijrah jadi baik, kenapa kenapa kenapa.

Kehidupan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tak pernah didengari oleh telinga, yang tidak ada masalah, tiada problem, hidup indah, iaitu syurga. Untuk mendapatkannya, kenalah berhijrah, itulah mencari pedoman dan hidayah Allah. Masjid di seberang jalan rumah, jalan kaki sahaja, tak perlu naik motor pun, tapi kenapa kita rasa berat sangat untuk berjemaah? Apa yang menodai, mengotori akal fikiran kita sampai kita tidak terpanggil untuk melangkah kaki menuju rumah Allah? Tidak ada taufan, tidak ada ribut, tidak ada hujan, masih tak mahu pergi ke masjid.

Kerana tiada hidayah dari Allah. Kitalah kena mencarinya dan berhijrah. Kenapa tak sayang pada diri kita? Kenapa tak sayang nasib kita? Kenapa tak sayang pada kehidupan abadi kita? Kalau kita cinta pada diri kita, cintalah bukan hanya untuk dunia sahaja, tapi untuk kehidupan akhirat yang abadi. Pemimpin, sebelum mengasihani rakyat, kasihani akhlak dan peribadi diri dulu. Jangan jadi seperti lampu (lilin) menerangi orang lain dengan diri sendiri terbakar.

Pohon kepada Allah untuk diri kita sendiri ihdinas sirootolmustaqim, mintak Allah bimbing kita ke jalan yang lurus. Dengan hidayahlah boleh menentukan akhirat kita bagaimana. Tapi dengan berdoa mengharapkan Allah beri hidayah sahaja tanpa melakukan pengorbanan, memang tidak jadi. Harus ada pengorbanan, ada jihad, ada perjuangan. Macam doa kurniakan aku isteri yang solehah. Macam mana nak dapat isteri kalau tak kahwin dulu, tak lamar dulu, tak cari dulu calonnya? Takkan nak harapkan Allah beri kita isteri itu datang sendiri? Itulah ikhtiar. Sama juga dengan hidayah, perlu ikhtiar untuk mencarinya.

Penari-penari yang menari atas pentas, bukan menari dengan spontan begitu sahaja, tapi perlu latihan berminggu-minggu, berbulan-bulan. Itu contoh pengorbanan, tapi pengorbanan duniawi. Pengorbanan kita targetnya untuk mendapat redha Allah. Bangun pagi subuh, terbangun awal, ah, awal lagi, belum masuk waktu subuh, sambung tidur balik. Akhirnya tak bangun langsung, pukul 10 pagi baru bangun.Terlepas subuh. Allah dah benarkan kita bangun awal, Allah bagi peluang pada kita untuk bertahajjud. Kenapa terpengaruh dengan hasutan syaitan supaya sambung tidur?

Berharaplah, dengan usia kita masing-masing, langkah ke depan, betulkan bahtera hidup dengan pengorbanan yang bererti dan mempunyai target, agar selamat akhirat. Jangan buat pengorbanan yang samar-samar targetnya. Berzikir Lailaahaillallah, Lailaahaillallah, Lailaahaillallah, lama kelamaan tak dengar jelas sudah, dengar .....illallah.......illallah....... lah.....lah...... Malaikat pun bingung nak tulis apa ni? Jangan buat pengorbanan yang tak tentu hala tuju. Pelik bin ajaib bin aneh, permainan ini, sebiji bola direbut 22 orang, bila dah dapat, dilepaskan pula. Kalau saya, dapat bola, saya bawa balik rumah.

Untuk mendapatkan hidayah, yang pertama, aminkan doa walau siapa-siapapun imamnya, kerana kita tak pasti siapa doanya yang diterima dan dimakbulkan Allah. Jika kena pada orangnya, mudah-mudahan doa yang kita aminkan itu diterima. Kedua, lakukan pengorbanan dengan waktu untuk mendapat redha Allah, agar tidak sia-sia perbuatan kita tadi, supaya senantiasa dengan petunjuk dan hidayah selalu bersama kita. Dan dapat diakhiri nyawa dengan jihad dan taqwa.

Yang terakhir, dengan takutkan Allah setiap masa. Kalau betul-betul yakin akhirat yang kita tujukan, sebelum Allah hijrahkan kita kepada alam berikutnya, apakata kita hijrahkan diri sendiri.

SOAL JAWAB

1- Dalam rumah, saudara mara kita ada bersama, kita dah pesan mereka supaya solat, tapi mereka tetap tak mahu. Bagaimana?
J- Peristiwa ini banyak berlaku. Dah disuruh, dah diingatkan tapi tak mahu buat. Lebih teruk lagi ada yang kata ini takdir Allah aku tak bersolat. Betulkah takdir? Apabila ditakdirkan terjerumus dalam situasi haram, kenapa tak elak? Kenapa tak ikhtiar? Kalau lapar, kenapa ikhtiar cari makanan? Cari minuman bila dahaga? Kalau ikut takdir sangat, duduk saja makanan datang sendiri, begitu? Nabi kata, perintahlah putera puterimu solat sejak mereka umur 7 tahun, pukul jika mereka tak mahu bersolat pada umur mereka 10 tahun. Namun bila dah dididik sejak kecil, sudah besar dia pula tak nak solat juga, tanggungjawab ibu bapa sudah terlepas. Namun, usaha kena berterusan dalam menasihati keluarga. Biar bergaduh seketika di dunia, jangan bermusuh di akhirat nanti. Agak-agak kalau anak kita sakit teruk, kita hantar berubat kampung di banyak tempat, tapi anak tetap tak sihat juga, adakah kita akan putus asa? Ah, biarlah dia mati, dah takdir dia. Taaakk.. Pasti kita akan teruskan usaha mengubatinya ke sana ke mari bukan? Begitu juga dalam kes tidak solat, teruskan usaha didik dan suruh mereka solat.

2- Boleh ke solat sunat selepas subuh dan asar
J- Nabi kata, jangan solat pada 5 waktu, selepas subuh, selepas asar, ketika matahari tegak, matahari gelincir, ketika matahari mahu terbenam. Larangan-larangan ini hanya kepada solat selain solat sunat yang bersebab atau solat qadha. Contoh solat bersebab ialah solat tahiyyatul masjid, solat sunat wuduk.

3- Solat fardhu yang dah lama ditinggalkan, banyak sangat, rasa tak mampu nak qadha, adakah wajib qadha?
J- Kalau wahabbi dan salafi jawab, tak payah qadha, cukup dengan taubat dan istighfar. Ini salah. Macam kita pinjam duit orang, terlalu banyak, adakah dengan taubat nasuha kepada Allah telah menghalalkan hutang itu tadi? Maka, belum cukup dengan taubat. Taubat hanya memohon ampun atas dosa kita masa lalai tak solat, akibat tengok bola, tengok TV, sibuk bekerja dan sebagainya. Namun, hutang wajib dibayar. 100 waktu zohor ditinggalkan, 100 waktu juga kena qadha, tak boleh digabungkan dalam 4 rakaat sahaja.

4- Apa pendapat sifat 20 adalah rekaan dan bidaah?
J- Satu persatu sifat Allah, ada dalam Al-Quran dan Hadis. Memang Nabi tak kata tentang sifat 20 itu secara tersendiri. Tapi ulama kumpulkan sifat-sifat Allah. Macam rukun Islam, rukun solat ada 13 semuanya, dan perkara-perkara lain, Nabi tak pernah kata tentangnya secara jelas bahawa rukun solat ada 13, contohnya. Ulama yang kumpul dan susun, supaya untuk menyenangkan umat-umat Islam yang terkemudian macam kita. Macam itu sifat 20, dari bahan mentah, Al-Quran dan Hadis, dibentuk jadi satu susunan oleh ulama. Ni ada pula yang kata bidaah, rekaan, macam dia pula lebih hebat dari ulama yang menyusun sifat 20 ini.

5- Apakah amalan terbaik bagi seorang anak kepada ibu bapa yang sudah tiada, sebab sesiapa yang mati, amalannya terputus kecuali beberapa, salah satunya ialah doa anak soleh. Bagaimana cara doanya dan amalan yang sepatutnya?
J- Pada saat anak kenal Allah, sudah jadi soleh, dengan anak jadi soleh itu sahaja, tanpa doa atau apa-apa hadiah/sedekah pahala kepada ibu bapa, dengan kesolehan anak itu sahaja dah menjadi saham pahala kepada ibu bapa yang sudah mati. Ulama berpendapat, walau anak tak doa secara khusus pun, ibu bapa dah bahagia dalam kubur. Tapi ada golongan wahabbi kata baca Al-Fatihah tak sampai pada si mati. Itu pemikiran logik akal semata-mata. Orang-orang yang tak percaya ia sampai, mati awallah lagi baik. Masalah Nabi tidak buat, tidak semua yang Nabi tak buat itu adalah haram. Nabi buka ruang kepada kita, selagi tidak melanggar larangan syarak, maka ia tidak haram.

6- Pendapat syeikh tentang tauhid yang 3 (uluhiyyah, rububiyyah asma’ wal sifat) pada pandangan ahlul sunnah wal jamaah, boleh terima atau tidak?
J- Tauhid 3 itu wujud pada zaman Ibnu Taimiyyah, dari dalil-dalil yang tersangat kuat, tiada Allah asingkan Uluhiyyah dan Rububiyyah. ASWJ tidak menolak tauhid 3 ini, namun cuma menyatakan ia lambat berbanding pendapat ulama tabi’in berkaitan ilmu tauhid.

7- Doa akhir dan awal tahun, ada orang kata bidaah.
J- Kalau tiap-tiap hari kita berdoa, bidaah tak? Jadi kalau berdoa tiap-tiap tahun, bidaah juga? Kalau ilmunya ulama tapi buat orang kebingungan, baik tidak payah jadi guru! Detik-detik mana pun, doa kita didengari. Yang kata doa ni salah tu, dialah yang salah sebenarnya. Yang kata doa ni bidaah, sesat, dialah yang sesat sebenarnya. (Faham-faham sendiri Syeikh tuju pada siapa)

No comments:

Post a Comment